Thursday, June 14, 2012

Hidup Terlalu Singkat Untuk Membenci...


Ah, terlalu sukar untuk memberi maaf. Bahkan lebih sukar daripada meminta maaf. Masih terasa tusukan rasa bagaikan sebuah dendam yang membara. Masih terngiang-ngiang segala kata. Masih terbayang semua tingkah dan perlakuan. Wajah 'orang-orang bersalah' itu terasa begitu menjengkelkan. Memberi maaf kepada mereka seolah-olah menggadaikan harga diri. Ah, apakah maruah ini terlalu murah untuk di sorong tarik dengan harga yang rendah? Dan cukup sakit, apabila mengenangkan 'musuh-musuh' itu tersenyum dengan kemenangan.


Namun, itu hanya bisik 'hati besarku'. Yang melantunkan suara ego dan marah. Kesat dan kesumat. Tetapi jauh dari dalam diri...ada suara lain yang bergetar. 'Hati kecil' yang tidak jemu-jemu mengingatkan. Suara tulus yang mendamaikan gelombang jiwa. Bisikan telus yang meredakan amukan rasa. Maafkan, lupakan... Cintai, sayangi... Berperang dengan mereka bererti berperang dengan diri sendiri. Begitu bisik hati kecil itu selalu.

Pada sebuah persimpangan rasa, tiba-tiba hati disapa oleh sebuah firman:
"Tolaklah kejahatan dengan sebuah kebaikan. Nescaya engkau
akan mendapati musuhmu akan menjadi seolah-olah saudara"


Wahai diri, api jangan dilawan dengan api. Nanti bakarannya akan membakar diri sendiri. Menyimpan dendam sama seperti membina sebuah gunung berapi di dalam hati. Semakin besar dendam itu, maka semakin sakit hati yang menanggungnya. Musuh-musuh mu terus ketawa, sedangkan kau sendiri menderita meneguk bisa.


Musim-musim terus berlalu sewajarnya mendewasakan aku. Pengalaman lampau sentiasa membuktikan bahawa permusuhan hanya akan memberi kepuasan sementara. Apabila 'fatamorgana' itu berlalu. Aku akan menjadi lebih dahaga daripada sebelumnya.


Biarlah musuh itu ketawa sepuas-puasnya. Beban rasa ini biarlah aku letakkan. Tidak akan ku bawa dalam kehidupan yang pendek ini. Hidup terlalu singkat untuk membenci. Bermusuh dengan orang lain, sama seperti bermusuh dengan diri sendiri. Memaafkan orang lain, sama seperti memaafkan diri sendiri. Kata Ustaz Azhar Idrus: "Apa yang kita berikan akan kita terima kembali"


Ah, betapa leganya sekarang...Benarlah bahawa kebaikan itu nampak sukar untuk dilaksanakan. Pahit. Sakit. Tetapi apabila dilaksanakan akan terasa kemanisannya. Manakala kejahatan itu nampak mudah, indah dan manis. Namun apabila dilakukan, pasti ada kekesalan, kepahitan dan keresahan. Ketika ini terasa benar apa yang selalu didengar di dalam tazkirah, bahawa dosa itu sesuatu yang meresahkan. Dendam itu dosa. Memaafkan itu pahala. Memaafkan menjemput datangnya 'syurga' yang fana, sebelum syurga yang baqa'.


Kini hatiku tertanya-tanya lagi...siapa aku yang begitu sukar memaafkan? Tuan? Tuhan? Aku hanya hamba. Sedangkan DIA Sang Pencipta itu Maha Pemaaf, Maha Pengampun, siapa aku yang kerdil ini untuk terus berdendam? Ya ALLAH, ampunkan aku. Sengaja atau tanpa sengaja, sering atau kekadang...aku 'terlanjur' menumpang hak-MU.. ='(

Thursday, February 9, 2012

LIMA Perkara Yang Wanita Ingin Dari Lelaki



MASA DEPAN

Wanita ingin merasa dirinya penting. Jika mereka dah betul-betul serius dalam sesuatu hubungan, mereka ni tak akan berhenti merancang masa depan diorang. Complete dengan nama-nama anak dan rumah idaman. Jadi, korang patut luangkan lebih masa dengan diorang ni. Tapi korang kena jugak bagi kebebasan kat diorang luangkan masa untuk keluarga dan kawan-kawan diorang.



KEJUJURAN

Wanita akan selalu meragui pasangannya disebabkan takut ditipu atau terlebih yakin. Lelaki patut jawab semua pertanyaan mereka meskipun itu soalan remeh seperti “ U rasa I ni makin gemuk ke?’, “dia tu lagi cun dari I ke ?“. Biarkan wanita tahu apa yang korang fikir sebab wanita akan lebih konfiden dan bangga dengan pasangan diorang kalau mengakui apa yang tak kena atau apa-apa je yang menganggu diorang.



RASA SELAMAT 

Korang tak perlu lah sampai bina badan untuk buat wanita rasa selamat. Selamat di sini bermaksud selamat dari segi kewangan, emosi, ataupun kebimbangan. Jadi lebih matang dan pertahankan dia. Biar dia tahu yang korang boleh buat keputusan dan tegas dengan keputusan tu. Kebanyakan wanita suka bila pasangan diorang sentiasa memimpin dan ada cara untuk melindungi diorang. Sentiasa bersama dengan diorang dalam keadaan yang sukar walaupun masalah tu berpunca dari diorang.



KASIH SAYANG


Semua wanita suka dijaga dengan baik dan dilayan secara istimewa. Korang patut periksa keadaan kekasih korang dari masa ke semasa walaupun tanpa sebab.Sentiasa lawati diorang walaupun diorang tak sakit dan luangkan masa untuk dia seperti masakkan makanan peveret dia ataupun baiki barang-barang dia, Wanita yang membesar tanpa ayah biasanya akan cari pasangan yang lebih tua sebab diorang perlukan lebih perhatian dan jagaan.




KEJUTAN


Kadang-kadang wanita mengharapkan terlalu banyak dari lelaki sebab tu diorang selalu kecewa. Sesekali buat lah kejutan (bukan kejutan elektrik) yang dia tak jangka akan ceriakan dia serta buat dia rasa lebih disayangi. Ini bergantung pada daya kreativiti korang lah.


Wanita ni sememangnya berbeza dari lelaki tapi sama ada lelaki atau wanita, kita semua ingin disayangi kan? Kadang-kadang perkara yang paling kecik pun boleh buatkan perbezaan yang besar.

Sunday, January 22, 2012

Let God Let it Go...


…sometimes, when you give up on someone, it’s not because you don’t care anymore, but rather because you realize they don’t.

Surat Untuk Engkau

Aku belum pernah lagi menulis sepucuk surat cinta yang unggul, yang nantinya akan mensyahdukan hati yang isi dan maknanya ditujui. Ia satu impian yang seringkali tersorok jauh dalam lubuk hati, yang kadangkala membuak-buak memercikkan perasaan yang selamanya tersimpan dalam seketul hati yang banyak memainkan peranan. Ah! Kenangan… selamanya ia akan tersisip kemas dalam ketulan itu, dan bila mana masa belayar, maka yang kelam jadi terang, yang kelabu jadi merah jambu.

Aku memang terlalu ingin melakarkan perasaanku ke atas lembaran penuh rasa cinta untuk engkau yang selalu ku rindu. Namun, entah bila dapat ku tunaikan hajat yang menggunung dan berapi ini. Entah bila lahar angau dapat dimuntahkan. Entah bila dapat ku yakinkan dikau betapa cintaku luhur, hanya untuk engkau, yang hadir bagai jawapan buat doa yang ku panjatkan. Memang aku pengemis, tanpa malu, aku akui. Pertama sekali akulah pengemis kasihnya Ilahi. Saban waktu aku mengharapkan pertolonganNya, aku mendambakan kasih dan rahmatNya. Tanpa malu-malu aku menadah tangan meminta itu dan ini daripadaNya. Ilahi ya Rabbi, Dialah Yang Maha Mengerti apa mahuku. Hanya kepadaNya aku berserah dan memohon perlindungan. Aku pernah meminta kepadaNya, agar dipertemukan dengan orang yang begini-begini. Dan Yang Maha Kuasa telah menerbitkan suatu rasa asing yang tak pernah ku alami terhadap insan lain. Suatu rasa aneh, yang dalam dan masih berpanjangan, alhamdulillah sehingga kini.

Dan aku telah memohon kepadaNya Yang Maha Pengasih, agar Dia suburkan rasa kasih dan sayang itu selagi nyawaku masih dikandung badan. Tamakkah aku kerana meminta-minta agar rasa itu subur mekar? Berdosakah aku mengharapkan agar Dia Yang Maha Penyayang memberkati kita dengan sebuah hubungan yang halal? Kerana aku ingin bersamamu merebut 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara. Aku ingin bangkit bersamamu menuju kejayaan. Aku ingin berikan kasih sayangku kepada engkau selalu ku sebut dalam doaku. Izinkan lah aku memanggil mu kekasih…

Telah ku pasti engkaulah jawapan buat doaku. Justeru, aku menjadi pengemis cintamu. Aku mengemis kasihmu yang ku tahu terlalu mahal buatku. Maafkan aku seandainya engkau rimas dengan perakuanku. Maafkan aku kerana menyintaimu sepenuh hati. Dan rasa ini tidak pernah ku alami sebelum ini. Ia mungkin pelik, namun ia tulus.

kerana aku percaya, dalam menyinta, it's all or nothing.

Saturday, September 12, 2009

Di Mana Ada Benci, Biar Kita Membalasnya Dengan Sayang

Aku agak tertarik dengan tazkirah oleh Ustaz Mohd Zawawi Yusoh. Bicaranya berkenaan dengan perkongsian rahmat yang kita terima daripada Allah s.w.t. Menurut beliau, rahmat yang dikurniakan kepada kita sepatutnya dikongsi bersama.

Berikut antara persoalan yang aku kutip dari tazkirahnya untuk direnungi bersama.

  • Sudah banyak kita mendapat nikmat daripadaNya tetapi jarang sekali kita memberikan waktu untuk menghitungnya, jauh sekali membalasnya.
  • Setiap hari, kita tak pernah lupa mengambil sarapan. Tetapi kenapa kita tak mengambil kesempatan menggunakan beberapa minit untuk memikirkan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim Allah sebagai 'vitamin' sebelum memulakan kerja atau menunaikan tugas seharian?
  • Cuba tanya hati kita, apakah nikmat yang sudah kita perolehi sepanjang hari ini?
  • Sudahkah kita sayangi ibu bapa, keluarga, teman-teman dan rakan-rakan di sekeliling kita?
Berikut adalah antara ciri-ciri golongan pengasih yang akan dikasihi oleh Allah yang Maha Pengasih. Mudah-mudahan kita juga memiliki ciri-ciri ini. . .

  • Di mana ada benci, biar kita membalasnya dengan sayang.
  • Di mana ada hati yang terluka, di situ kita yang menjadi penghiburnya.
  • Di mana ada keraguan, di situ kita yang meyakinkan.
  • Di mana ada putus asa, di situ kita yang jadi pembangkit semangat.
  • Di mana ada kesedihan, di situ kitalah yang berkongsi bahagia.
  • Di mana ada kegelapan, di situlah kita yang membawa cahaya. . .
Renungkanlah bersama . .
Wallahu'alam . . .